Friday, February 05, 2010

Pendirian yang tak pernah berdiri.

Segala yang diakui di sini adalah benar dan kesemuanya adalah benar-benar belaka. Seorang yang tak berapa tetap pendirian dan selalu memperlekehkan orang lain. Bersifat terbuka untuk mengkritik secara diam atau terang-terangan. Bersifat tertutup untuk merahsiakan segala yang dianggap tidak berkaitan atau memberi impak kepada tuan punya badan. Gembira melihat kejatuhan dan kegagalan supaya dapat mengakhirinya dengan senyuman. Ketidakjujuran yang terlampau sehingga membutakan semua orang serta mata hati sendiri. Keyakinan yang terumbang-ambing untuk mencapai sesuatu sampaikan merasa gagal berulang kali. Nafsu pemikiran yang sering berputar ligat memikirkan segala tafsiran sehingga lupa kepentingan utama di hadapan hidung sendiri. Bongkak dalam rundingan hinggakan orang lain jadi mangsa sempitan akal fikiran. Gagah menilai perkara yang sebetulnya tak ternilai harganya.

Aku rasa itu saja. Ya, perkara-perkara ini kebanyakan atau kesemuanya aku, percaya atau tidak. Jelas sekali, aku sudah nampak di mana silapnya. Aku lah silapnya. Bayangkan seribu orang macam aku. Kesalahan aku, ingin aku akui, dan aku tak berhak untuk meredhai segalanya kerana silapnya, aku. Sebabkan aku, orang lain yang merana. Jadi, apakan daya untuk hidup. Tapi tak boleh bunuh diri. Berdosa besar pula. Tapi jika dihitung, kesalahan aku boleh diibaratkan lebih besar dosa dari membunuh diri. Jadi, lebih baik aku bunuh diri. Tapi tidak. Iman masih ada walaupun hati legap, tapi aku percaya, masih ada. Perubahan adalah sesuatu yang aku inginkan, tapi tak terdaya. Janji mahu berubah, tapi begini juga. Mungkin perubahan memerlukan masa yang cukup banyak aku rasa. Aku tidak mahu berjanji, tidak mahu cakap banyak. Tapi aku akan cuba untuk kebaikan bersama, walaupun tidak berapa baik untuk aku. Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah merancang. Tidak perlu menilik masa depan, takut nanti masa depan berubah dan aku akan menyesal kehilangan sesuatu yang paling berharga yang tak pernah aku dapat sebelum ini. Kaedah yang aku guna pakai jelas silap dan memakan diri serta orang lain. Persetankan mulut-mulut busuk yang lain dan terus mengejar apa yang berharga. Itu saja yang aku rasa berbaloi. Berbaloi untuk dikorbankan.

Haih, aku kata tak mahu janji dan cakap lebih. Tapi aku dah cakap melimpah-limpah. Tak mengapa. Semoga berjaya Ikhwan bin Jaafar.

No comments:

Post a Comment